suria

Tujuh Lelaki Dipenjara 15 Tahun Sebabkan Kematian Anggota Polis

MELAKA: Tujuh lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian terhadap seorang anggota polis berpangkat konstabel pada 2008.

Tertuduh ialah Saiful Baharin Jalil, 31; adiknya Mohd Haniffah Jalil, 30; Khairul Anwar Abu Hashim, 22; Razif Md Shah, 22; Johar Bahir, 26; Norhamezi Omar, 27; dan Firdaus Md Shah, 27.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan yang diwakili peguam Abdul Kadir Ismail, Yusof Rahmat dan Mohan Singh untuk menangguhkan perlaksanaan hukuman yang sepatutnya bermula hari ini bagi mengemukakan rayuan.

Kesemua mereka didakwa atas pertuduhan pindaan bersama-sama empat yang masih bebas, mendatangkan kecederaan kepada Mohd Fairuz Shafiee yang ketika itu berusia 23 tahun hingga menyebabkan kematian mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Nasi Kandar Subaidah (PG) Sdn Bhd, Plot 6, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini pada 11.05 malam, 21 November 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Terdahulu pihak pembelaan memohon hukuman ringan berikutan kesemua tertuduh telah insaf selain mendakwa kejadian tersebut melibatkan maruah dan harga diri apabila isteri Saiful Baharin dilarikan mangsa.

Bagaimanapun pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh dibuat tanpa usul periksa dan mengikut nafsu serta tidak mematuhi undang-undang negara ini.

Mangsa meninggal dunia selepas dua bulan berada dalam keadaan koma, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain