suria

Rakyat Kini Punyai Suara Terhadap Undang-Undang Baru

SEREMBAN: Jabatan dan agensi kerajaan kini perlu mendapatkan pendapat umum sebelum mencadangkan pindaan draf undang-undang yang sedia ada atau memperkenalkan rang undang-undang yang baru.

Keperluan wajib itu melibatkan undang-undang majlis tempatan, dasar dan peraturan oleh kementerian dan badan berkanun, tanpa mengira sama ada undang-undang itu perlu dibentangkan di Parlimen atau tidak.

Perubahan cadangan kepada undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara, bagaimanapun dikecualikan daripada mewajibkannya.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hasaan mengeluarkan garis panduan untuk “penglibatan awam secara dalam talian” kepada semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun sebelum persaraan beliau pada 22 Jun lalu.

Seorang pegawai kanan kerajaan berkata, pada peringkat pertama pelaksanaan itu, draf untuk cadangan pindaan atau penggubalan undang-undang perlu diletakkan di laman web kementerian, jabatan kerajaan atau badan berkanun, sekurang-kurangnya 14 hari untuk mendapatkan maklum balas dan penelitian awam.

“Kementerian, jabatan atau agensi akan mengkaji respons itu dan membuat penyesuaian kepada perubahan cadangan tersebut,” katanya.

Selepas itu, draf itu akan dipaparkan di laman web untuk tempoh dua minggu lagi bagi membolehkan orang awam menyedari tentang perubahan yang dilakukan dan diminta untuk memberikan lebih banyak maklum balas.

Respons daripada orang awam juga akan diletakkan di laman web untuk tempoh dua minggu.

Pegawai itu berkata, keperluan baru itu akan menunjukkan ketelusan dalam penggubalan undang-undang atau peraturan baru, dan bagi menggalakkan orang awam untuk memberikan maklumat yang berguna.

“Ia juga untuk memastikan perubahan cadangan itu diterima baik oleh ramai orang,” katanya.

Pegawai itu berkata, prosedur baru itu juga akan meningkatkan keyakinan pelabur dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik kerana Kerajaan memberi keutamaan kepada pandangan awam sebelum sebarang undang-undang diperkenalkan.

Peguam hak asasi manusia, Edmun Bon mengalu-alukan langkah itu tetapi berkata, sebuah panel bebas, dan bukan daripada perkhidmatan awam perlu mengaudit maklum balas awam bagi memastikan objektif pendekatan itu bagi mengumpulkan pandangan.

Dalam garis panduan bagi “penglibatan awam secara dalam talian”, beliau berkata, tempoh masa yang diberikan tidak mencukupi.

“Tempoh 14 hari terlalu singkat kerana sesetengah undang-undang begitu rumit, malah untuk peguam. Ia sepatutnya dilanjutkan kepada sebulan,” kata beliau.

Pindaan Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya, yang telah diluluskan di Parlimen pada April lalu, telah ditarik balik pada 9 Mei selepas tidak mendapat persetujuan daripada ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Kerajaan memutuskan untuk membatalkan Rang Undang-Undang itu selepas berunding dengan pihak pembangkang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Akta Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 yang baru-baru ini diluluskan, yang mana pengguna Internet bertanggungjawab terhadap apa-apa kandungan yang disiarkan melalui rangkaian yang berdaftar atau peranti pemprosesan data turut dikritik kerana “terlalu tergesa-gesa” tanpa mendapatkan maklum balas orang ramai.

Artikel Lain