suria

Polis Tahan Dua Lelaki Dipercayai Bookie Euro 2012

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mengatur pertaruhan perlawanan bola sepak Euro 2012.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Dungun, petang Ahad.

Beliau berkata suspek pertama yang berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah pusat snooker di Kampung Bukit Bauk kira-kira pukul 6 petang.

"Dalam serbuan ke atas pusat snooker itu, polis menahan seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil siasatan lanjut ke atas suspek, kita merampas dua telefon bimbit milik suspek dan dalam telefon berkenaan terdapat butiran berkaitan pertaruhan bola sepak," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Manoharan berkata ekoran penahanan itu, serbuan berasingan dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Melor dan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 31 tahun kira-kira pukul 7.30 malam.

Katanya hasil siasatan ke atas telefon bimbit serta komputer riba milik suspek yang ditemui dalam rumah terbabit, turut mengandungi butiran berkaitan pertaruhan bola sepak.

"Kita percaya kedua-dua suspek yang ditahan itu terlibat dalam pertaruhan bola sepak dan mereka saling berkaitan berdasarkan cara pertaruhan yang digunakan melalui sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai telah lama menjalankan kegiatan perjudian itu dan kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 63 Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun. - BERNAMA

Artikel Lain