suria

Penganggur Dipenjara 11 Tahun Dan 20 Sebatan Kerana Miliki Ganja

SHAH ALAM: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 20 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin kerana kesalahan memiliki 737 gram ganja tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu selepas Mohd Aizat Deris, 29, yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya Berbahaya 1952, pada Isnin mengaku salah terhadap dua pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 6/39A(2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan pilihan itu, Mohd Aizat didakwa memiliki ganja seberat 156.9 gram pada 17 Feb, 2011 pada pukul 7.45 malam di tepi jalan besar dekat kedai makan Putra Tomyam Batu 14, Hulu Langat, Kajang.

Dia juga didakwa memiliki ganja seberat 580.1 gram di sebuah rumah beralamat No 19, Batu 14, Jalan Hulu Langat, Kajang pada pukul 8.15 malam pada hari yang sama.

Noor Azian berkata, setelah menimbangkan kepentingan umum, pengakuan tertuduh, berat dan jenis dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan 10 kali sebatan bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua 11 tahun penjara dan 10 kali sebatan.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 11 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh Mohd Aizat ditangkap.

Terdahulu, peguam yang mewakili Mohd Aizat, Mohamed Hanipa Maidin merayu kepada hakim supaya hukuman ke atas anak guamnya diringankan dan berjalan serentak dengan mengambil kira pengakuannya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad, Asyraf Md Kamal pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran ke atas tertuduh kerana kesalahannya serius.

Beliau berkata, sebelum ini Mohd Aizat yang ditahan pada 17 Februari 2011 telah didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain