suria

Lelaki Warga India Maut Rumah Kedai Terbakar

GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga India maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Lebuh King, di sini, Isnin.

Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai, Ismail Md Zin berkata dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Arokkiaraj, 34, ditemui terperangkap dalam timbunan runtuhan siling di salah sebuah bilik rumah kedai dua tingkat itu.

"Pasukan penyelamat menemui mangsa terlentang dengan kesan melecur hampir 50 peratus dan kami dapati dia telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini.

Difahamkan, rumah kedai itu diubahsuai dan dipecahkan menjadi lima bilik serta disewakan kepada pekerja asing.

Sewaktu kejadian mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai kain sedang tidur di rumah itu berseorangan.

Ismail berkata 33 anggota bersama lima jentera bergegas ke tempat kejadian dan pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit.

"Struktur rumah kedai yang diperbuat daripada papan menyebabkan api merebak begitu pantas dan sebahagian bangunan terjejas teruk susulan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain