suria

Kelindan Lori 'Naik Hantu' Dipercayai Angkara Pil Penenang

KUALA TERENGGANU: Seorang kelindan lori minyak kelapa sawit tiba-tiba 'naik hantu' dan mengamuk, dipercayai kerana mengambil ubat penenang menyebabkan beberapa nyawa hampir melayang dalam kejadian malam Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, lelaki berumur 30 tahun itu yang berasal dari Kuantan, Pahang bersama pemandu lori minyak sawit itu sedang dalam perjalanan untuk menghantar bekalan minyak sawit ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba berhampiran Kampung Sungai Tong, Setiu, suspek secara tiba-tiba berkelakuan pelik dan bertindak agresif dengan mencengkam tangan pemandu berusia 58 tahun itu.

"Panik dengan kejadian tersebut, pemandu yang juga berasal dari Kuantan itu memberhentikan lorinya di tepi jalan di Kampung Felda Belara, Tepoh dekat sini.

"Pemandu terbabit bertindak keluar dari lori berkenaan sebaik melihat suspek terus bertindak agresif dengan memecahkan cermin lori," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Manoharan berkata selepas memecahkan cermin lori , suspek berlari ke arah sebuah treler yang membawa muatan bijih besi yang diletakkan di tepi jalan berhampiran kawasan itu ketika pemandunya berhenti minum di warung berdekatan.

"Suspek bertindak melarikan treler yang tidak dimatikan enjinnya. Terkejut trelernya dilarikan, pemandu itu bertindak mengekori dan menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian tersebut.

"Bagaimanapun ketika sampai di bulatan Batu Enam di sini kira-kira 10.15 malam, treler yang dipandu suspek terbabas dan merempuh kereta dan bulatan itu," katanya.

Beliau berkata suspek kemudiannya keluar dari treler dengan memegang sebatang besi sambil melibas ke arah kenderaan yang lalu lalang di situ menyebabkannya terkena sebuah kereta yang dipandu lelaki yang berusia 50 tahun sehingga cermin kereta berkenaan pecah.

Katanya suspek kemudian memukul seorang penunggang motosikal serta merampas motosikal berkenaan sebelum melarikan diri menghala ke arah Kampung Bukit Tunggal di sini.

Motosikal yang ditunggangi suspek bagaimanapun telah bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain tidak jauh dari situ membolehkan suspek diberkas orang ramai.

"Suspek yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. Pemilik motosikal yang dirampas itu juga mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan serta turut dirawat di hospital sama," katanya.

Menurut Manoharan, suspek yang telah berkahwin itu sebelum ini tidak pernah berkelakuan sedemikian, bagaimanapun isterinya memberitahu sejak kebelakangan ini, suspek kerap mengambil ubat penenang namun tidak pernah bertindak liar.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun. - BERNAMA

Artikel Lain