suria

Kalau Malas Nak Berniaga Jangan Maki Pelanggan...

ALOR GAJAH adalah sebuah pekan kecil yang terletak di tengah-tengah negeri Melaka. Jika tidak kerana adanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa lagi institusi pendidikan berhampiran dengannya, nescaya pekan ini tidaklah semeriah mana walaupun terdapat sebuah muzium yang menarik di sini.

Di tengah-tengah pekan ini pula terdapat sebuah medan selera bernama Medan Selera Pasar Menggong. Setiap hujung minggu, apabila ibu-bapa kepada para pelajar UiTM datang untuk menjengguk atau mengambil anak mereka pulang ke rumah, medan selera ini lah yang menjadi tumpuan ramai.

Ini kerana, Medan Selera Pasar Menggong terkenal dengan cucur udangnya dan juga ada orang kata asam pedasnya.

Medan selera ini mendapat nafas baru apabila pada tahun 2009 Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menjalankan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung ke situ.

Yang Dipertuanya, Nordin Ali berkata, usaha itu perlu dilakukan segera memandangkan keadaan persekitaran medan selera itu kurang menarik dan tahap kebersihannya tidak begitu memuaskan.

''Kita dapati medan selera itu sering menjadi tumpuan orang ramai dan dikunjungi pelancong asing untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang dijual di situ walaupun keadaan persekitarannya kurang menarik,” kata YDP MPAG sebagaimana yang pernah dilaporkan oleh media massa pada tahun 2009.

Hakikat bahawa MPAG menaik taraf medan selera tersebut kerana ia adalah pusat tumpuan pelancong dan orang luar yang berkunjung ke Alor Gajah membuktikan bahawa pihak berkuasa tempatan itu sangat-sangat mengambil berat akan imej Alor Gajah serta menghargai sumbangan ekonomi yang telah dibawa oleh orang luar ke pekan tersebut.

Malangnya, satu insiden yang berlaku di medan selera itu baru-baru ini boleh memusnahkah imej yang cuba dipromosikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Satu keluarga dari Kuala Lumpur yang mengunjungi anak mereka yang baru sahaja mendaftarkan diri di UiTM Lendu, tidak jauh dari Alor Gajah telah singgah di Medan Selera Pasar Menggong untuk menikmati makan tengah hari.

Oleh kerana itu merupakan kunjungan mereka yang pertama, mereka telah berjalan dari sebuah gerai ke sebuah gerai untuk meninjau apakah jenis makanan yang ditawarkan di medan selera itu.

Ada berbagai-bagai, dari nasi campur hinggalah kepada asam pedas, sate dan juga cucur udang yang popular itu.

Namun mereka memutuskan untuk makan asam pedas.

Apabila mereka duduk di salah sebuah gerai di situ yang menawarkan masakan tersebut, mereka pun mula membuat pesanan - asam pedas tenggiri. Mereka sangat teruja dan seronok untuk menjamu selera. Ini dapat dilihat dari reaksi wajah mereka sekeluarga.

Tetapi kemudian, layanan yang mereka terima daripada tuan punya kedai makan adalah sangat-sangat mengejutkan.

Mereka dilayan bagaikan sampah. Pendek kata, wang yang mereka bawa untuk bayar harga makanan itu seolah-olah tidak laku dan tidak dipandang oleh sebelah mata pun oleh tuan punyai gerai.

Pertama, apabila ditanya, di mana kah mereka hendak pesan air, makcik yang merupakan tuan punya gerai itu menjawab dengan nada yang kasar dan meninggikan suara; “Makan di sini, order air di sinilah. Tak boleh tempat lain...”

Kemudian bila masuk soalan kedua, iaitu apakah boleh pesan makanan lain dari gerai yang lain seperti sate contohnya, dia terus melenting.

“Kalau duduk di meja sini, tak boleh pesan makanan dari tempat lain. Mesti makan makanan yang dipesan di sini sahaja,” katanya dengan nada garang dan wajah yang masam.

Yang lebih menakjubkan ialah, selepas itu makcik berkenaan tidak henti-henti ‘bersyarah’ melepaskan geramnya tanpa sebab kepada keluarga tersebut.

Malah dia menyebut pula dia orang pertama yang berniaga di medan selera itu dan macam-macam hal lagi yang tiada kaitan langsung dengan pesanan yang dibuat oleh pelanggannya itu.

Dan dia bercakap dengan nada yang marah seperti melepaskan geram kepada keluarga tersebut yang menjadi mangsanya tanpa sebab.

Apa perlunya dia berkasar sedemikian dengan pelanggan yang duduk makan di meja di hadapan gerainya kerana mereka tidak bersalah apa-apa malah bertanya dengan penuh sopan santun dan meminta izin daripadanya terlebih dahulu untuk memesan makanan tambahan dari gerai lain.

Apatah lagi konsep medan selera itu adalah konsep terbuka iaitu semua orang boleh memesan makanan ikut selera masing-masing.

Yang keduanya, dia tidak perlu berkasar dengan pelanggannya sendiri kerana keluarga itu bukannya tidak memesan makanan dari kedainya langsung.

Sebaliknya mereka memesan asam pedas untuk tujuh orang makan.

Ketiganya, tidak ada keperluan untuk tuan punya kedai itu bercakap demikian kerana keluarga yang duduk makan di kedainya itu bukannya makan percuma. Mereka mengeluarkan wang dan membayar untuk servis yang diberi itu.

Jadi tidak ada sebab kenapa mereka harus dihambur dengan kata-kata seperti itu.

Keempatnya, para peniaga haruslah ingat, filosofi perniagaan ialah pelanggan sentiasa betul. Mereka harus dilayan dengan hormat dan penuh budi bahasa, bukan dihambur dengan kata-kata yang tidak sedap didengar dan akhirnya akan memutuskan selera untuk makan.

Dan benar sungguh, selepas makan tidak sampai 10 minit, tidak ada seorang pun ahli keluarga itu yang makan asam pedas yang dipesan itu hingga habis.

Sebaliknya, mereka tergesa-gesa mahu meninggalkan gerai makan tersebut kerana layanan yang mereka terima macam hampas.

Maka tidak hairanlah kenapa meja di hadapan gerai itu sentiasa lengang tanpa pelanggan sejak dari awal lagi.

Artikel Lain