suria

Polis Buru Geng Parang

GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan sekumpulan suspek berumur lingkungan 20-an dipercayai terlibat dalam kejadian serangan bersenjata terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan Larut, pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian 12 tengah malam itu, lima hingga enam lelaki bersenjatakan parang dikatakan meluru masuk ke dalam premis dan memecahkan beberapa rak botol minuman serta merosakkan barangan dalam pusat hiburan berkenaan.

"Difahamkan pemilik kedai itu baru dua hari mengambil alih perniagaan di situ dan polis percaya serangan itu bertujuan menakutkan pengunjung kelab berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Gan berkata suspek cepat-cepat meninggalkan tempat tersebut selepas mengetahui kehadiran polis dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181822 atau membuat laporan terus di balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Lain