suria

RM30,000 Milik Kontraktor Dalam Hilux Dilarikan Selepas Cermin Dipecah

KUANTAN: Seorang kontraktor mengalami kerugian RM30,000 selepas wang tunai yang diletakkan di dalam kenderaannya dicuri selepas cermin belakangnya dipecahkan di Taman Kerang, di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Superitendan Mohd Jasmani Yusof berkata, mangsa, Mohd Sufi Ibrahim, 49, telah meninggalkan kenderaan jenis Toyota Hilux di parkir kereta di kawasan itu dalam keadaan berkunci pada pukul 1 tengah hari.

"Apabila mangsa kembali semula ke kenderaannya sejam kemudian beliau mendapati cermin belakang kenderaan berkenaan telah dipecahkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata, setelah diperiksa, tiga beg galas yang ditinggalkan di dalam kenderaan itu didapati hilang di mana salah satu beg itu mengandungi tiga keping sampul surat yang berisi wang tunai RM30,000 selain terdapat cek milik syarikat.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Mohd Jasmani dalam pada itu menasihati orang ramai supaya tidak meninggalkan barangan berharga sekiranya meninggalkan kenderaan kerana kes seperti itu telah kerap berlaku. - BERNAMA

Artikel Lain