suria

PTPTN Lupus Pinjaman RM457 Juta Kepada 16,959 Graduan

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melupuskan pinjaman pendidikan sebanyak RM475.046 juta kepada 16,959 graduan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama sehingga 31 Mei lepas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu, seramai 12,529 pelajar dikecualikan daripada membayar balik pinjaman bernilai RM359.26 juta apabila pinjaman mereka ditukarkan kepada biasiswa.

Katanya, seramai 4,430 bekas pelajar tahun 2005, 2006 dan 2007 yang lulus cemerlang dengan mendapat Ijazah Sarjana kelas pertama turut menikmati pengecualian itu yang membabitkan peruntukan RM116.2 juta.

"Sebelum ini graduan cemerlang ini tidak mendapat pengecualian tersebut tetapi kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk mengecualikan mereka daripada membayar balik pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Wang Pendahaluan Pembiayaan (WPP) kepada 124 pelajar kawasan Parlimen Kuala Krau yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi awam tahun ini di sini, Jumaat.

Ismail, yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, berkata kerajaan membelanjakan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun bagi pinjaman kepada pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggai awam dan swasta dan sehingga 31 Mei lalu, PTPTN telah memberi pinjaman kepada 1.98 juta pelajar membabitkan peruntukan RM44.18 bilion.

Menurutnya, kerajaan tidak bercadang memberhentikan pemberian pinjaman itu bagi melahirkan lebih ramai rakyat berilmu untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menafikan tuduhan pihak tertentu kononnya konsep syariah pinjaman dan pembayaran Ujrah PTPTN adalah zalim dan memberikan tekanan kepada bekas pelajar untuk membayar balik pinjaman tersebut.

Beliau berkata, akibat terpengaruh dengan dakyah tersebut yang disebar secara meluas dalam internet dan tulisan blog, ramai bekas pelajar enggan menukar status pinjaman mereka daripada konvensional kepada konsep Ujrah.

"Mereka yang terpengaruh dengan tulisan blog tersebut dinasihatkan supaya menghubungi PTPTN untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konsep Ujrah yang menguntungkan kerana mereka hanya perlu membayar pinjaman dengan dikenakan satu peratus sahaja untuk urusan pentadbiran," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain