suria

Pekebun Sayur Rugi RM45,000 Disamun Tiga Lelaki Bersenjata

KUANTAN: Seorang pekebun sayur kerugian RM45,000 setelah disamun tiga lelaki bersenjata di rumahnya di Brinchang, Cameron Highlands, Khamis.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa dan isterinya, kedua-dua berusia dalam lingkungan 40-an berada di dalam rumah bersama ibu dan bapa mangsa lelaki yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian samun itu, tiga lelaki terbabit bersenjatakan parang dan objek seperti pistol.

"Suspek meluru masuk ke dalam rumah lalu mengacukan parang sebelum mengikat semua mangsa termasuk menampal mulut mereka dengan pita pelekat sebelum menggeledah rumah mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau berkata mangsa juga dipaksa menyerahkan barang kemas dan wang tunai RM40,000 yang disimpan dalam peti besi.

Wan Zahari berkata mangsa sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan dan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM45,000. Katanya kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain