suria

Menteri Luar Georgia Lawat Malaysia Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Georgia Grigol Vashadze dijadual melawat Malaysia Isnin ini, menurut kenyataan Wisma Putra pada Sabtu.

Vashadze, yang akan diiringi delegasi lima anggota, dijadual mengunjungi rakan sejawatannya, Datuk Seri Anifah Aman, dan membincangkan perkara melibatkan kepentingan bersama dan dua hala.

Kenyataan itu menyebut ini merupakan lawatan peringkat tertinggi yang pertama dari Georgia ke Malaysia sejak terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 1993.

Georgia terletak di barat daya Asia, bersempadan dengan Laut Hitam, antara Turki dan Rusia.

Dagangan antara Malaysia dan Georgia adalah minimum, bagaimanapun Januari hingga April menyaksikan peningkatan 42.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport Malaysia ke Georgia dicatatkan sebanyak RM27.07 juta dan import pula RM8.44 juta.- BERNAMA

Artikel Lain