suria

Isu Faekah: PKR Tidak Campur Tangan - Wan Azizah

PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Ismail berkata parti itu tidak akan campur tangan dalam isu melibatkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Beliau menegaskan isu tersebut telah diselesaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan PKR tidak perlu campur tangan.

"Kita ada banyak isu yang lebih penting untuk dibincangkan. Isu Faekah telah diselesaikan oleh Menteri Besar.

"Masalah dalam parti tidak penting dan tidak perlu dibincangkan secara terbuka, biar ia diselesaikan diperingkat dalaman," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Jumaat.

Justeru beliau mahu semua pihak lebih memfokuskan isu-isu penyelewengan yang lebih besar berbanding perkembangan dalaman parti tersebut.

Azizah mendakwa terdapat isu yang lebih besar seperti penyelewengan yang didakwanya Pusat Fidlot Nasional (PFN) kerana ia melibatkan kepentingan negara.

"Isu-isu itu lebih penting, isu-isu dalaman parti tidak melibatkan kepentingan awam, lagipun isu-isu negeri Selangor sudah diselesaikan Menteri Besar," katanya.

Sebuah blog baru-baru ini mendakwa setiausaha politik kepada Menteri Besar Faekah Husin menulis surat kepada PNSB agar firma guaman milik anak saudaranya itu dilantik menjadi panel peguam di syarikat berkenaan.

Dalam laporan akhbar Sabtu lalu, Faekah mengaku menulis surat terbabit tetapi mendakwa ia bertujuan untuk mendapatkan pertimbangan daripada PNSB berhubung perkara berkenaan.

Faekah turut menjelaskan surat itu dihantar bersama beberapa surat firma guaman lain yang turut berminat menjadi panel guaman di PNSB dan syarikat milik kerajaan negeri lain

Artikel Lain