suria

Dua Rakyat Malaysia Maut Selepas Ziarah Keluarga Di Mandailing

JAKARTA: Perjalanan dua bersaudara warganegara Malaysia ke tanah nenek moyang di Mandailing Natal, Sumatera Utara untuk menemui keluarga yang lama terpisah, berakhir tragedi apabila bas mini yang mereka naiki dalam perjalanan pulang ke Medan, jatuh ke dalam sebuah jurang sedalam 150 meter di tepi Danau Toba pagi Khamis.

Zaidun Basir, 68, dari Cheras, Kuala Lumpur dan adiknya Zulkifli Mohd Basir, 64, dari Johor Baharu, adalah antara lapan orang termasuk pemandu bas mini itu yang maut dalam nahas di Batu Gantung, Simalungun pada pukul 5 pagi itu.

Mereka sebelum itu menemui anggota keluarga yang dicari di Natal, daerah Mandailing Natal dan mengumpul maklumat tentang salasilah keluarga untuk dibukukan sebagai rujukan anak cucu.

Kedua-dua beradik berketurunan Mandailing dan berasal dari Chikus, Teluk Intan, Perak, dikatakan telah juga menziarahi makam nenek moyang mereka di situ sebelum berlepas dengan sebuah bas mini menuju Medan untuk pulang ke Malaysia dengan pesawat dari sana semalam.

Anak Zaidun, Rohaizat, 43, yang dihubungi di Medan berkata selain bertujuan menemui anggota keluarga di Natal, kepergian bapanya ke tanah nenek moyang mereka itu juga untuk melengkapkan maklumat tentang salasilah keluarga yang sedang dikumpulkan sejak sekian lama untuk dibukukan.

Beliau yang baru tiba di Medan, Sumatera Utara pagi ini, berkata turut terkorban dalam kemalangan itu bersama bapa dan bapa saudaranya dalam kemalangan itu ialah dua anggota keluarga mereka dari Natal, namun beliau belum mendapat maklumat lanjut mengenai butir pengenalan diri mereka.

Rohaizat tiba di Medan bersama sepupunya Hazlan, 39, iaitu anak Zulkifli, untuk menguruskan penghantaran pulang jenazah bapa mereka pada hari ini, untuk dikebumikan di tempat keluarga masing-masing iaitu di Cheras dan di Johor.

Zaidun ialah seorang pesara Askar Wataniah yang kini mengusahakan sendiri perkhidmatan teksi manakala Zulkifli pula ialah seorang pesara tentera.

Akhbar tempatan memetik jurucakap polis trafik Simalungun sebagai berkata berdasarkan maklumat, empat lagi penumpang bas mini itu terselamat.

Sebelum kemalangan berlaku, para penumpang dan pemandu bas berhenti rehat di Balige dan menonton satu perlawanan separuh akhir bola sepak Euro 2012.

Selesai perlawanan bola sepak itu, mereka meneruskan perjalanan namun apabila bas mini yang dipandu laju itu sampai di satu selekoh di Batu Gantung, pemandunya gagal mengawal kenderaan itu menyebabkannya terbabas dan jatuh ke dalam jurang di situ. - BERNAMA

Artikel Lain