suria

Pertuduhan Ke Atas Shamsubahrin Tidak Adil - Surendran

PETALING JAYA: Peguam yang mewakili perunding, Datuk Shamsubahrin Ismail, N. Surendran mendakwa pertuduhan yang baru dikenakan terhadap anak guamnya sebagai tidak adil dan bertentangan dengan undang-undang negara ini.

Dalam pertuduhan terbaru itu, Shamsubahrin didakwa cuba menipu Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Nasional (PFN), Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail untuk menyerahkan wang berjumlah RM2.5 juta bagi merasuah pihak polis yang menyiasat skandal PFN.

Surendran yang juga Naib Pengerusi PKR berkata, pihak pendakwa seharusnya mendakwa Salleh yang merupakan Pengerusi Eksekutif PFN kerana didakwa terlibat dengan percubaan untuk merasuah pihak polis bagi menutup skandal PFN.

"Peguam Negara sendiri mengakui dalam kertas pendakwaan bahawa Salleh cuba merasuah polis. Saya sendiri tidak pernah melihat dakwaan seperti ini daripada pihak Jabatan Peguam Negara, kerana ia bertentangan dengan polisi awam.

"Adakah Peguam Negara cuba melindungi orang yang cuba merasuah polis. Jika mereka ada bukti PFN cuba merasuah polis, kenapa tiada tindakan diambil terhadap Salleh?" katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Jumaat.

Terdapat lima pertuduhan yang dikenakan ke atas Shamsubahrin dengan tiga daripadanya, bertarikh 25 November, 1 dan 5 Disember, menyatakan Shamsulbahrin menipu Salleh untuk menyerahkan cek bernilai RM255,000, RM500,000 dan RM300,000 bagi "meyakinkan Salleh" untuk merasuah pihak polis dalam menyelesaikan skandal PFN.

"Salleh didakwa mempercayai sebahagian wang tersebut akan diberikan kepada pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana bagi menutup kes yang disiasat polis berkaitan PFN," katanya.

Shamsubahrin, 45, yang merupakan perunding kepada PFN turut dikenakan 17 tuduhan mengambil wang berjumlah RM4,141.176 keuntungan (hasil) secara tidak sah.

Pada 12 Mac, Mohamad Salleh, 64, didakwa menyelewengkan RM9,758,140 dalam kapasitinya sebagai pengarah NFC, bagi membiayai pembelian dua kondominium di 'One Menerung' di Bangsar antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd di Taman Tun Dr Ismail.

Tuduhan kedua melibatkan pemindahan RM40 juta ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, di mana Mohamad Salleh dan seorang daripada anaknya adalah pengarah, antara 6 Mei dan 16 November 2009.

PFN didakwa menggunakan RN250 juta itu untuk membiayai aset bernilai lebih RM60 juta yang tidak berkaitan dengan projek berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain