suria

Pengguna Lapangan Terbang Malaysia Dijangka 68 Juta Orang Tahun Ini

SEPANG: Berikutan prestasi cemerlang sektor penerbangan Malaysia, jumlah penumpang yang dikendali lapangan terbang di seluruh negara dijangka meningkat kepada 68 juta tahun ini, berbanding 65.3 juta tahun lepas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, jangkaan itu berdasarkan prestasi tahun lepas yang menyaksikan pertambahan penumpang lebih 10 peratus kepada 65.3 juta daripada 59 juta pada tahun sebelumnya.

"Sekiranya ekonomi di Eropah dan Amerika bertambah baik, jumlahnya boleh mencapai lebih 70 juta tahun ini," katanya pada majlis menyambut pendaratan pesawat Airbus A380 pertama Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Jumaat.

Penerbangan pesawat itu dari Toulouse, Perancis, yang dipandu Kapten Norshid Ali, membawa 91 tetamu serta beberapa petugas MAS, termasuk ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Jauhari Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Berhad (MAB), Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Kong berkata, pesawat super jumbo komersial terbaharu MAS itu akan mencetuskan rasa teruja dan keyakinan orang ramai terhadap MAS dan menjadi kebanggaan Malaysia kerana MAS merupakan syarikat penerbangan kelapan di dunia yang menggunakannya.

Katanya, walaupun MAS menghadapi pelbagai cabaran, termasuk saingan daripada syarikat penerbangan premium lain dan syarikat penerbangan tambang rendah, keadaan tidak menentu harga bahan bakar, ketidaktentuan daripada segi persekitaran ekonomi dan kebimbangan berkaitan kesihatan, namun syarikat penerbangan nasional ini berjaya mengharunginya dengan tabah dan membawa kebanggaan kepada Malaysia.

"Saya harap ia akan membuka era baru bagi syarikat penerbangan kebangsaan ini ke arah mencapai kejayaan lebih besar dan membawa kebanggaan kepada negara," katanya sambil menyatakan keyakinannya pesawat baru itu akan menjadi pilihan ramai.

Kong berkata, MAS menempah enam pesawat A380, sebahagian besarnya akan tiba menjelang akhir tahun ini bersama 17 pesawat baru lain, untuk menjadikan syarikat penerbangan ini antara pemilik kumpulan pesawat paling baru di rantau ini bagi menambah nilai perkhidmatan yang disediakannya.

Kong juga merasmikan pembukaan MAS Golden Lounge yang dinaik taraf di Bangunan Satelit KLIA, yang dilengkapi dua ruang - satu untuk anggota Enrich Platinum dan tetamu Kelas Satu, manakala satu lagi untuk anggota Enrich Gold, tetamu Kelas Perniagaan dan penumpang mewah syarikat penerbangan.

Kemudahan berukuran 43,284 kaki persegi itu, yang dibuka sepanjang masa, mempunyai reka bentuk baru yang lebih menarik serta menawarkan pelbagai hidangan makanan dan minuman, sebuah sport bar dan kemudahan bilik mandi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain