suria

Masalah Kekurangan Borang Pendaftaran Sebagai Pengundi Selesai - Rohaiza

PETALING JAYA: Pos Malaysia Bhd mengakui beberapa pejabat cawangannya berdepan masalah kekurangan borang pendaftaran sebagai pengundi ekoran sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan di kawasan berkenaan, kata Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan, Pos Malaysia Datuk Rohaiza Hashim.

Bagaimanapun, katanya, tindakan segera telah diambil dan kesemua cawangan telah dibekalkan dengan borang tersebut.

"Tahap bekalan borang tersebut sentiasa dipantau untuk memastikan bekalan borang mencukupi setiap masa," katanya dalam maklum balas menerusi emel pada Khamis.

Rohaiza berkata, sementara menunggu bekalan borang tersebut, kakitangan di kaunter menasihatkan pelanggan pergi ke cawangan berhampiran untuk membuat pendaftaran.

Pada Selasa, ahli perniagaan Tengku Arief Tengku Hamid berkata, dia bersama-sama 14 rakannya telah pergi ke pejabat pos di Ampang untuk mendaftar sebagai pengundi kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa tempoh pendaftaran dilanjutkan sehingga Sabtu.

Namun, pegawai yang bertugas memaklumkan cawangan tersebut telah kehabisan borang.

Mereka diarahkan untuk pergi ke cawangan Umno berdekatan untuk mendaftarkan diri.

Kes tersebut dibangkitkan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin.

Rohaiza berkata, di pejabat pos, pelanggan perlu mengemukakan MyKad dan pegawai di kaunter akan memasukkan maklumat sepatutnya dan mengesahkan borang pendaftaran SPR.

Selepas borang dicetak, pelanggan perlu menyemak dan menandatanganinya serta satu salinan akan diberikan kepada pelanggan untuk rekod.

"Bagi pihak Pos Malaysia Berhad, kami ingin memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku berhubung perkara ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain