suria

eKasih Menang Anugerah Perkhidmatan Awam PBB 2012

KUALA LUMPUR: Projek eKasih, yang merupakan inovasi kerajaan Malaysia, memenangi tempat pertama Anugerah Perhidmatan Awam (UNPSA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2012.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York, kerajaan memenangi kategori Memajukan Pengurusan Maklumat Dalam Kerajaan Bagi Rantau Asia Pasifik pada satu majlis yang diadakan di ibu pejabat PBB, New York pada Isnin.

Sistem eKasih ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional dan ia boleh diakses dan diguna oleh semua agensi kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi tujuan perancangan, koordinasi dan memantau program membasmi kemiskinan di Malaysia.

Pengarah Pusat Bank Data Negara dan Inovasi (Nadi) Unit Pelaksanaan dan Koordinasi (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Rosni Abdul Malek yang diiringi Ketua Usaha Malaysia ke PBB Datuk Saiful Azam Martinus Abdullah menerima anugerah itu bagi pihak kerajaan Malaysia.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Bahagian untuk Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB Sha Zukang.

Terdapat 44 organisasi awam dari 29 negara menerima pengiktirafan PBB bagi kejayaan dalam pelbagai bidang perkhidmatan awam tahun ini.

Anugerah Perkhidmatan Awam PBB adalah pengiktirafan antarabangsa yang paling berprestij bagi kecemerlangan dalam perkhidamatan awam

Ia memberi penghargaan kepada pencapaian kreatif dan sumbangan institusi perkhidmatan awam yang membawa kepada pentadbiran awam yang lebih berkesan dalam negara di seluruh dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain