suria

Dua Prinsip Utama Jamin Pendidikan Adil - PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam memastikan pendidikan adil kepada semua peringkat golongan masyarakat, dua prinsip utama diperjuangkan kerajaan iaitu meritokrasi kecemerlangan dan keadilan sosial.

Beliau berkata adunan dua prinsip itu penting bagi memastikan kejayaan pergerakan sosial mobiliti di negara ini terus dinikmati semua pihak.

"Oleh itu kalau sistem kita tidak dapat memberi peluang yang adil kepada golongan tersebut maka akan berlaku kepincangan dalam masyarakat," katanya semasa berucap pada majlis sesi sembang Perdana Menteri bersama Profesor dan Profesor Madya Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di sini Khamis.

Program itu dihadiri ahli majlis Persatuan Akademik Malaysia yang mewakili 30,000 golongan itu di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata justeru itu salah satu kebanggaan kerajaan selama ini ialah mobiliti sosial yang agak ketara dan cepat sekali berlaku iaitu hanya dalam tempoh satu generasi sahaja.

"Mungkin juga ada di kalangan pensyarah dalam majlis itu yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, pekebun kecil dan kakitangan awam rendah tetapi kini menjawat jawatan tinggi jauh lebih baik," katanya.

Najib berkata keadaan itu adalah disebabkan peluang mobiliti sosial yang ada, peluang pendidikan serta pinjaman dan biasiswa yang membolehkan rakyat melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

"Apa yang saya harapkan proses itu akan berterusan dan saya bangga sekali mendengar anak kampung, anak daripada keluarga miskin termasuk miskin di bandar berjaya kerana sistem pendidikan yang diperjuangkan selama ini," katanya.

Perdana Menteri berkata pelbagai kemudahan disediakan dalam bidang pendidikan termasuk subsidi yang cukup tinggi sehingga mencapai 90 peratus.

"(Harga) Barangan lain semua sudah naik...teh tarik, roti canai naik tetapi yuran pendidikan tinggi tak pernah dinaikkan kerajaan sampai sekarang walaupun kos semakin bertambah," katanya.

Selain biasiswa, katanya kerajaan sediakan pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan jasa tabung itu amat besar sekali dalam membantu semua peringkat masyarakat mendapat akses pendidikan tinggi.

"Malangnya sejak kebelakangan PTPTN jadi kontroversi pula sedangkan jasa tabung pendidikan itu tidak dapat dinafikan.

"Secara rasionalnya mana ada pendidikan percuma di dunia, semua perlu dibayar, jadi kepada yang telah meminjam (PTPTN) adalah menjadi satu kewajipan untuk membayar," katanya.

Perdana Menteri berkata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang kedua-dua prinsip itu mesti digabungkan dan semua dasar yang dijalankan kerajaan mengambil kira keadilan sosial.

"Ia juga dirangka dengan penuh penelitian, mempunyai prinsip serta asas perancangan dan bukan secara semberono sahaja kerana kerajaan tidak mahu sekadar menaburkan janji tanpa menjana kekayaan," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain