suria

Tiga Pegawai SPRM Akan Dikenakan Tindakan Berhubung Kematian Teoh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan terhadap tiga pegawainya berhubung kematian setiausaha politik, Teoh Beng Hock.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim berkata, tindakan itu akan dimaklumkan berdasarkan keputusan oleh pasukan khas menyiasat terhadap tingkah laku mereka ketika menjalankan siasatan terhadap Teoh.

“Saya mencadangkan tindakan diambil, tetapi jawatankuasa aduan akan memutuskannya,” kata Abu Kassim.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apakah tindakan yang akan diambil dan bila beliau akan bertemu dengan jawatankuasa berkenaan.

Laporan daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim serta pegawainya, Anuar Ismail dan Ashraf Mohd Yunus yang digantung tugas selepas laporan RCI dibebaskan pada 21 Julai tahun lepas.

Laporan tersebut mengatakan bahawa Teoh membunuh diri akibat mengalami tekanan selepas soal siasat yang yang agresif dan berlarutan terhadapnya oleh tiga pegawai berkenaan.

Teoh, 30, ditemui mati di kawasan tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Artikel Lain