suria

PKNS Cadang Tambah Bilangan Pejabat Eksekutif

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang untuk menambah pejabat eksekutif di PKNS BizPoint di Seksyen 7 di Shah Alam berikutan sambutan yang menggalakkan.

Pengurus VIO by PKNS, Mohd Hilmi Muda berkata, pada masa ini kesemua 13 unit pejabat eksekutif di bangunan itu disewakan manakala 35 syarikat lagi masih dalam senarai menunggu.

“Kami dalam perbincangan untuk mengubahsuai bahagian tingkat satu PKNS BizPoint untuk dijadikan ruang pejabat eksekutif bagi menambah bilangan unit untuk disewakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Saiz pejabat eksekutif di PKNS BizPoint adalah berbeza sama ada satu individu, dua individu, tiga individu atau empat individu boleh disewa pada harga antara RM1,200 hingga RM2,000 seunit.

Mereka yang berminat untuk menyewa ruang pejabat tersebut hanya perlu membayar deposit dua bulan dengan langganan minimum selama enam bulan.

Selain itu, unit pejabat korporat maya oleh VIO by PKNS turut mendapat sambutan apabila 78 unitnya telah diduduki.

Menerusi program ruang pejabat korporat maya, ahli perniagaan dan usahawan yang berminat hanya perlu membayar harga RM300 sebulan untuk menggunakan kemudahan yang lazimnya terdapat di sesebuah pejabat perniagaan konvensional.

Walaupun dalam bentuk maya, penyewa akan memiliki sebuah pejabat yang diuruskan oleh mereka yang terlatih termasuk khidmat operator telefon.

Mohd Hilmi berkata, penyewa diberikan nombor telefon khusus serta nombor faks khas untuk perniagaan dan kemudahan internet tanpa had di sebahagian ruang PKNS BizPoint.

"Kemudahan lain adalah seperti bilik mesyuarat, bilik perbincangan dan ruang istirehat" katanya.

Program Pejabat Korporat Maya dan Pejabat Eksekutif di Bangunan PKNS BizPoint bermula sejak 1 November 2010, kesinambungan kepada Program Skim Pejabat Inkubator PKNS oleh Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS.

Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat untuk membantu individu memulakan perniagaan di pejabat sendiri tanpa modal besar.

Artikel Lain