suria

Penyenaraian Felda Jana Kekayaan Kepada Peneroka

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd di Bursa Malaysia pada Khamis mampu menjana kekayaan yang bakal diagihkan kepada lebih 112,000 peneroka Felda.

Beliau berkata Felda Global Ventures, pengendali ladang kelapa sawit ketiga terbesar dunia, telah mencatatkan penyenaraian bersejarah di Bursa Malaysia hari ini dengan tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar tahun ini selepas Facebook Inc.

"Ini disebabkan kita ada idea dan mampu menjana kekayaan agar boleh mengagihkan ini kepada peneroka-peneroka Felda yang senyum semacam kerana dapat durian runtuh.

"Ini bukan peruntukan daripada kerajaan tetapi sebaliknya kita menjanakan kekayaan yang kemudian dapat diagihkan kepada semua peneroka," kata beliau pada majlis Sembang Petang Perdana Menteri bersama para Profesor dan Profesor Madya institut pendidikan tinggi awam di Seri Perdana di sini Khamis.

FGH mengakhiri dagangan pada paras kukuh dengan harga RM5.30 sesaham pada Khamis selepas muncul hebat dalam dagangan sulungnya di Bursa Malaysia pada harga RM5.39, apabila ia mencatatkan premium sebanyak 84 sen berbanding harga tawarannya, RM4.55.

Peniaga-peniaga berkata penutupan dagangan FGV pada RM5.30, dengan premium 75 sen dan 2.615 juta lot bertukar tangan, adalah di luar jangkaan. - BERNAMA

Artikel Lain