suria

MP Sri Gading Hanya Bertanya Jika Ambiga Perlu Dihukum Gantung

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz menolak dakwaan terhadap beliau membuat kenyataan berunsurkan perkauman di Dewan Rakyat mengenai Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga.

Malah, beliau berkata, beliau hanya bertanya sama ada Ambiga patut dianggap sebagai penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan dihukum gantung sampai mati.

“Saya menghormati teman-teman saya berbangsa India dan Cina seperti mereka dari MCA, MIC dan PPP. DAP telah kehabisan isu dan memutar-belitkan fakta.

“Mereka mungkin tidak faham bahasa Melayu kerana itulah mereka tidak tahu kenyataan saya sebenarnya adalah soalan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Menurut catatan Dewan Rakyat, Mohamad pada Selasa mengatakan: “Apakah Ambiga tidak boleh kita anggap penderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan hukum gantung kepada dia?”

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang media berkata, kenyataan Mohamad bersifat perkauman dan merupakan satu ancaman kepada ia secara langsung merujuk pada seorang wanita India beragama Hindu.

Mohamad membidas perkara itu dengan mengatakan bahawa DAP memainkan sentimen perkauman dan mengheret masyarakat India untuk bergaduh kerana beliau tidak menyebut langsung mengenai komuniti itu dalam ucapannya.

“Ia adalah pandangan peribadi saya. Umno juga telah menjelaskan bahawa ia berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan,” kata Mohamad.

“Saya tidak perlu berkata maaf kerana saya tidak berbuat apa-apa salah. Kenyataan saya bukan satu tuduhan. Ia adalah soalan,” tambahnya.

Artikel Lain