suria

Geng Curi Kereta Dan Pecah Rumah Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpas 'Geng Hong' yang aktif mencuri kereta dan pecah rumah yang membabitkan kerugian RM500,000 dengan tertangkapnya tujuh suspek di Genting Highlands, Pahang dan Cheras di sini pada 8 dan 14 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Superietndan Mohan Singh Tara Singh berkata, lima lelaki dan dua wanita berumur 30-an itu ditahan bersama-sama lima buah kereta curi iaitu dua jenis BMW, sebuah proton Savvy, Honda Odyssey dan Civic, komputer riba, telefon bimbit, kunci kereta dan alatan pecah rumah.

"Lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita pada mulanya ditahan di Genting Highlands pada 8 Jun sebelum polis yang melakukan siasatan lanjut menahan dua lagi lelaki, iaitu anggota kumpulan yang sama di sekitar Cheras pada 14 Jun," katanya pada sidang berita di sini, Khamis.

Mohan berkata, dengan tangkapan tesebut, polis yakin telah berjaya menyelesaikan 17 kes curi kereta dan pecah rumah di kawasan Cheras, Brickfields, Kajang dan Gombak.

Katanya, kesemua suspek terbabit yang aktif melakukan kegiatan itu sejak April lepas, menggunakan modus operandi memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni sebelum melarikan barang berharga di rumah tersebut, termasuk kereta yang diparkir di rumah terbabit.

Sementara itu, polis Cheras menahan 55 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan lalu lintas serta penggunaan dadah dalam 'Ops Lejang' yang dilancarkan 18 Jun lepas.

"Dalam ops ini kita memeriksa 3,052 orang, 1,637 motosikal, 745 buah kereta, 94 lori dan enam buah bengkel. Hasil pemeriksaan ini, kita berjaya mendapatkan semula empat buah kereta dan 16 motosikal yang dicuri," katanya.

Dalam kes berasingan, polis yang melancarkan 'Ops Soga Euro 2012' menahan dua lelaki yang terlibat dalam aktiviti pertaruhan kejohanan bola sepak itu di sebuah restoran di Jalan Lanchang di sini kira-kira 3.20 pagi Khamis.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki berumur 30 dan 36 tahun itu, kita merampas dua I-pad, satu I- Phone, dua talefon bimbit dan wang tunai RM11,000. Kedua-duanya yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau ditahan kerana menjalankan kegiatan pertaruhan dan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953," katanya.

Katanya, ketika tangkapan, kedua-dua mereka baru sahaja bertaruh dalam perlawanan antara Sepanyol dan Portugal awal pagi.

"Kita akan menyiasat penglibatan mereka dengan mana-mana sindiket perjudian yang menjakankan kegiatan yang sama," katanya.

Mohan dalam pada itu berkata, kadar jenayah di sekitar daerah Cheras menurun sebanyak 11 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain