suria

Dakwaan Rektor Pecah Amanah Rujuk Kepada Pengurusan Kuin

ALOR SETAR: Polis mengarahkan pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menyelesaikan sendiri kes dakwaan pecah amanah membabitkan Rektor kolej universiti itu, Prof Datuk Dr Jamil Osman.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Adzaman Mohd Jan berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes 'Refer to Agency (ROA)' dan polis merujuk kembali kes berkenaan kepada Kuin.

"Jadi kes ini perlu diselesaikan oleh jabatan yang terlibat dengan segera," kata beliau ketika mengulas tindakan petugas Kuin yang membuat lima laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini semalam kerana mendakwa berlaku pecah amanah di kolej universiti itu.

Difahamkan, petugas terbabit yang berkhidmat antara empat dan 15 tahun berbuat demikian kerana mendakwa Kuin tidak membuat pembayaran kepada bank, syarikat insurans dan institusi kewangan lain walaupun potongan dibuat daripada gaji mereka setiap bulan, sejak Januari lepas.

Akibat tindakan itu, ada antara petugas Kuin yang dikenakan tindakan termasuk menerima surat bagi tindakan mahkamah, kenderaan ditarik balik oleh bank dan penamatan polisi insurans oleh syarikat insurans. - BERNAMA

Artikel Lain