suria

Cubaan Seludup Rokok: Polis Marin Johor Tahan Dua Warga Indonesia

JOHOR BAHARU: Polis Marin Johor menahan dua lelaki Indonesia di perairan Pulau Pisang dekat Pontian, dipercayai cuba menyeludup masuk rokok ke negara ini. Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ACP Zainul Hasan berkata suspek yang menaiki sebuah bot, juga bertindak mencampak bungkusan berisi 1,770 karton rokok ke laut dalam usaha meloloskan diri ketika dikejar bot polis. "Dalam kejadian 4.30 petang semalam, kita berjaya mengesan sebuah bot yang mencurigakan di perairan Pulau Pisang dan apabila dihampiri, bot berkenaan cuba melarikan diri ke Pantai Benut, Pontian. "Ketika dikejar, dua lelaki yang menaiki bot itu telah membuang beberapa bungkusan dipercayai mengandungi rokok ke dalam laut dan setelah hampir 10 minit, mereka berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan, di sini, Rabu.

Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki berusia 38 dan 40 tahun terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah selain mengaku membawa rokok berkenaan untuk diseludup ke Benut, Pontian, katanya.

Beliau berkata selain rokok, polis turut merampas bot terbabit dengan nilai rampasan keseluruhan RM246,046. "Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang tanpa kelulusan kastam dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 kerana tidak memililiki dokumen perjalananan yang sah," katanya.

Katanya sepanjang tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, pasukan itu berjaya melakukan empat tangkapan dengan nilai rampasan RM991, 844.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai apa jua kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya rompakan di laut serta penyeludupan dan kesalahan maritim supaya menghubungi pasukan itu di talian 07-2372222. -BERNAMA

Artikel Lain