suria

BN Tak Perlu 'Beli Orang', Tawaran Lompat Parti Hanya Retorik Pembangkang - Syed Ali

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata dakwaan pembangkang kononnya mereka ditawar sejumlah wang supaya melompat parti hanyalah satu retorik.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu pun Umno sedia ada tidak perlu 'membeli orang', termasuklah ahli-ahli daripada parti pembangkang.

"Minta mereka jangan retorik. Retorik mereka ini hanya buang masa sahaja.

"BN tak perlu beli orang dan mereka (pembangkang) jangan berangan-angan kita nak beli mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Menurut Syed Ali, memberi tawaran kepada orang lain untuk beralih dari satu parti ke parti yang lain adalah 'cara' Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah 'basi' dan beliau juga yang bertindak memulakannya.

"Ini semua Anwar yang mulakannya...nak beli-beli orang. Dia tak berjaya beli ahli kita (BN) hari ini tuduh kita mahu beli mereka," tegasnya.

Syed Ali berkata retorik pembangkang itu bagaimanapun tidak akan memberi sebarang kesan atau menjejaskan kerajaan BN atau ahli-ahli Umno.

Sebaliknya, beliau berkata semua ahli, termasuklah pimpinan tertinggi akan terus berkerja demi kepentingan rakyat.

"Macam-macam tuduhan tak jadi 'kudis' langsung untuk kita. Mereka (pembangkang) tak sertai kita pun tak jadi masalah.

"Bila rasa kerusi yang dipegang sudah tak selamat sebab tak buat kerja untuk rakyat, mereka buat tuduhan dan cari kawasan lain untuk bertanding...sebaliknya kita dari dulu sampai sekarang terus berkhidmat untuk rakyat," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembangkang sengaja memainkan isu ini tanpa menyedari rakyat sudah sedar ia hanyalah satu helah.

Katanya, rakyat kini sudah mampu menilai kebaikan dan keburukan sesebuah parti politik.

Dalam pada itu Syed Ali juga 'mengalu-alukan' jika pembangkang ingin mendedahkan bukti tawaran lompat parti seperti yang didakwa.

"Kalau betul dedahkan...cakap-cakap siapa pun boleh. Siapa yang nak 'beli' dia," katanya.

Syed Ali diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pada Rabu dan beberapa ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendakwa pernah menerima tawaran lompat parti.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu mendakwa diberi tawaran RM5 juta sekiranya menerima tawaran.

Beliau bagaimanapun menolak tawaran tersebut.

Artikel Lain