suria

Bekas Pegawai Keselamatan Bebas Tuduhan Miliki Pistol

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengawal keselamatan pada Khamis dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan memiliki sepucuk pistol, tahun lepas.

Hakim, K.M Nithiyanantham membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Wan Mohammad Ali Wan Mansor, 43, di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol revolver.38 nombor siri 3D00855 di bilik utama rumah beralamat A-8-1 Menara Duta 2, Jalan Duta Mas Raya, Sentul di sini pada 2 pagi 18 Mei 2011.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Nithiyanantham ketika membuat keputusan itu berkata, terdapat percanggahan keterangan saksi pendakwaan mengenai nombor siri pada pistol, yang didakwa dimiliki tertuduh dalam kes ini.

Nithiyanantham berkata, terdapat dua nombor siri yang berbeza diberikan oleh saksi ketika keterangan iaitu 300855 dan 3000855, sedangkan nombor siri sebenar yang terdapat pada pistol itu adalah 3D00855.

Selain itu, beliau berkata, tindakan pihak pendakwaan tidak mengemukakan laporan kimia kepada mahkamah dilihat melemahkan kes pendakwaan kerana keputusan sama ada palitan yang diambil pada pistol itu sama dengan DNA tertuduh bukan persoalan utama.

"Apa yang menjadi persoalan adalah mengapa laporan itu dikemukakan oleh pihak pembelaan dan bukan pendakwaan," kata Nithiyanantham.

Timbalan Pendakwa Raya Izuddin Mohamad mengemukakan 12 saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula pada 17 Okt tahun lepas manakala tertuduh diwakili peguam Rodzim Zaimy Abdul Hamid. - BERNAMA

Artikel Lain