suria

Warga Bangladesh Didakwa Pecah Rumah

PETALING JAYA: Seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan melakukan pecah rumah selain memasuki negara ini secara tidak sah.

Bahar Shadat Hossain, 32, didakwa memecah masuk rumah dan mencuri dua telefon bimbit serta wang tunai RM340, kesemuanya bernilai RM540, kepunyaan seorang pekerja wanita sambilan berumur 18 tahun di No 30, Jalan PH 2/5, Puchong Hartamas di Puchong, Selangor, pada 3.15 pagi 14 Mei.

Bahar Shadat, yang tidak diwakili, didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Dia juga mengaku tidak bersalah memasuk negara ini secara tidak sah, di Jalan BPU 8, Bandar Bukit Puchong pada 1.20 tengah hari tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 itu memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Nor Afidah Idris tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan menetapkan 19 Julai untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat. -BERNAMA

Artikel Lain