suria

Taman Negara Tanjung Piai Terjejas Akibat Tumpahan Minyak

PONTIAN: Kawasan sepanjang 600 meter pesisir pantai Taman Negara Johor Tanjung Piai, di sini, terjejas apabila dicemari tumpahan minyak yang dipercayai akibat pemindahan minyak dari kapal ke kapal, pada Selasa.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Suhairi Hashim berkata kejadian yang memusnahkan hidupan dan pokok paya bakau itu disedari pukul 2 petang semalam oleh kakitangan taman negara berkenaan sebelum melaporkannya kepada Pejabat Daerah Pontian dan Jabatan Laut.

"Tompokan minyak itu dapat dilihat di sepanjang 600 meter laluan utama pejalan kaki menuju ke glob yang menjadi mercu tanda penghujung selatan tanah besar Asia. Selain mengancam hidupan seperti burung, siput dan ikan, minyak yang melekat pada akar pokok bakau akan menyebabkan tumbuhan berkenaan mereput lalu mati dalam jangka masa dua bulan," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Suhairi berkata kejadian di kawasan eko pelancongan yang disenaraikan sebagai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) berkenaan merupakan kali kedua selepas kejadian yang sama berlaku pada Februari lepas.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan Jawatankuasa Pelan Pembersihan Pantai yang dianggotai beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah Pontian untuk melakukan kerja-kerja pembersihan yang dijangka mengambil masa sehingga tiga hari. Sehubungan itu, taman negara yang menerima kira-kira 30,000 pengunjung dari Januari tahun ini sehingga kini terpaksa ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

"Mengikut pemantauan pihak kami, tumpahan minyak itu turut menjejaskan Taman Negara Johor Pulau Kukup yang terletak tidak jauh dari kawasan Taman Negara Johor Tanjung Piai. Kita berharap keadaan air pasang akan membawa semula tompokan minyak ke kawasan lain demi menjamin hidupan di situ," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor Zarmadi Mohd berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6 petang semalam dan siasatan terperinci mengenainya sedang dilakukan bersama Jabatan Laut dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Beliau berkata pihaknya mempercayai kemungkinan berlakunya aktiviti pemindahan minyak dari kapal sehingga menyebabkan berlakunya tumpahan ekoran terdapat 300 kapal yang sentiasa berlabuh kira-kira empat batu nautika dari tempat kejadian.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar akan mengambil sampel minyak di kawasan tersebut untuk dianalisis dan pihak yang terlibat dengan kejadian berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34B atau Seksyen 29 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana melakukan pencemaran. -BERNAMA

Artikel Lain