suria

Samun Pusat Beli Belah: Polis Tahan Ketua 'Geng Khairul'

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai ketua 'Geng Khairul' yang disyaki terlibat dalam kes samun seorang wanita di pusat beli belah di sini 23 Jun lepas.

Suspek, seorang penganggur berusia 21 tahun, yang berasal dari Gerik, Perak itu ditahan di rumahnya di Taman Desa, Brickfields pada kira-kira pukul 3 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Aida Abdul Hamid berkata polis turut menemui sebahagian daripada barangan milik mangsa yang disorokkan suspek.

"Kami juga merampas sehelai seluar jeans, kemeja-T serta sebilah parang pendek berukuran 29 cm beserta sarungnya," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Aida berkata penahanan suspek utama itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan kes samun itu iaitu remaja perempuan berusia 19 tahun dari Ampang, Selangor dan pelajar lelaki berusia 16 tahun yang menetap berhampiran kawasan kediaman suspek utama yang turut mempunyai rekod jenayah lampau.

"Remaja terbabit merupakan tunang suspek utama. Dia (suspek utama) telah meminjam sebuah beg daripada tunangnya itu dan menggunakan beg itu untuk menyimpan hasil samun. Pelajar itu pula merupakan orang tengah yang bertanggungjawab menjual telefon bimbit milik mangsa," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, mangsa yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai eksekutif teknikal sedang dalam perjalanan ke tempat letak kereta apabila diserang seorang lelaki bersenjatakan pisau.

Mangsa yang cuba melepaskan diri, mengalami kecederaan di kepala dan tangan serta tikaman di dada.

Ekoran kejadian itu, mangsa menerima 12 jahitan serta kehilangan beberapa barangan peribadi seperti kad pengenalan, beberapa keping kad kredit dan telefon bimbit.

Aida berkata suspek utama dan ketiga kini ditahan reman sehingga 1 Julai depan manakala remaja perempuan itu dibebaskan dengan ikat jamin. -BERNAMA

Artikel Lain