Peguam Buat Laporan Polis Terhadap Kenyataan Presiden Majlis Peguam - Semasa | mStar

Peguam Buat Laporan Polis Terhadap Kenyataan Presiden Majlis Peguam

KUALA LUMPUR: Seorang peguam, pada Selasa, membuat laporan polis terhadap Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan berkaitan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008.

Mohd Khairul Azam Abd Aziz, yang datang berseorangan, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11 pagi dan berada di balai itu selama sejam.

Mohd Khairul ketika ditemui pemberita berkata kenyataan Lim yang ditemui di laman web badan peguam berkenaan disifatkan beliau sebagai satu unsur hasutan yang boleh mengundang kepada kebencian terhadap fatwa oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa Negeri.

"Saya ada bertanyakan tiga perkara kepada Lim mengenai kenyataan beliau iaitu siapa yang memberikan autoriti untuk mengeluarkan kenyataan tersebut, adakah ada sebarang mesyuarat sebelum kenyataan itu dikeluarkan dan adakah terdapat permintaan rasmi untuk mengeluarkan kenyataan itu.

"Saya memberikan Lim masa tujuh hari untuk menjawab namun baru semalam beliau memberi jawapan iaitu kerana kami berbeza pandangan justeru jawapan Lim itu tidak menjawab soalan saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Beliau juga akan mengkaji jika wujud unsur salah guna kuasa oleh Lim dan jika ada, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, Majlis Peguam menyuarakan kekesalan dan kebimbangan terhadap pindaan yang dibuat ke atas Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 baru-baru ini, yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Lim menyatakan pindaan itu bercanggah dengan Perlembagaan kerana seolah-olah menyingkirkan bidang kuasa mahkamah.

Pindaan memasukkan Seksyen 22A yang berbunyi 'walau apapun undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, fatwa yang telah diputuskan oleh Mufti atau Jawatankuasa Fatwa sama ada diwartakan atau tidak hendaklah dipatuhi dan tidak boleh dicabar, dirayu, disemak dinafikan atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah sivil atau syariah'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Peguam Pertahan Diri Pukul Pelanggan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Artikel Lain