suria

Murid Tahun Tiga Ponteng Sekolah Ditemui Mati Lemas

KUANTAN: Seorang murid tahun tiga yang ponteng sekolah dan mandi di sebatang sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya, ditemui mati lemas.

Muhammad Nur Norshahrin, 10, murid Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, mandi bersama abangnya yang berusia 15 tahun dan seorang rakan abangnya yang juga berumur 15 tahun, di sungai Sai, dekat Padang Tengku, Kuala Lipis, tengah hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan ketika dihubungi Bernama berkata abang mangsa yang turut ponteng sekolah dan mandi bersama adiknya cuba menyelamatkannya tetapi gagal.

"Selepas gagal menyelamatkan adiknya, abang mangsa berlari pulang ke rumah meminta bantuan penduduk kampung," katanya.

Mayat Muhammad Nur ditemui kira-kira sejam selepas itu dalam operasi mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung.

"Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Padang Tengku namun disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat murid itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya dikebumikan. - BERNAMA

Artikel Lain