suria

MT BN Bertemu Jumaat Ini Untuk Kenalpasti Persiapan P/Raya Umum

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan bertemu Jumaat ini pada jam 8 malam di Menara Datuk Onn, PWTC - untuk membincangkan beberapa isu politik terbaru dan juga yang pasti tentang persiapan jentera pilihan raya umum setiap parti komponen.

Untuk rekod, BN dianggotai oleh 13 buah parti komponen dengan Umno, MCA dan MIC merupakan tiga parti pengasas dan komponen utama.

MT Umno telahpun selesai mengadakan mesyuarat mereka Jumaat lalu dan walaupun Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak enggan mengulas sebarang pertanyaan mengenai persiapan pilihan raya umum tetapi adalah difahamkan sebahagian besar mesyuarat itu dihabiskan untuk melihat dan menilai status terkini persiapan jentera pilihan raya setiap badan perhubungan Umno Negeri.

Setiausaha Bahagian Media, Ibu Pejabat Umno Malaysia, Ahmad Kamal Zailani ketika dihubungi mStar Online pada Selasa mengesahkan bahawa Mohd Najib akan mempengerusikan mesyuarat MT BN tersebut Jumaat ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan apakah persiapan jentera pilihan raya merupakan sebahagian daripada agenda mesyuarat.

Namun mStar difahamkan menerusi satu sumber lain bahawa mesyuarat MT BN itu akan mengakses persiapan jentera dan persiapan bilik gerakan setiap parti komponen seandainya pilihan raya akan diadakan tahun ini.

Berada paling utama di dalam senarai ialah apakah parti-parti komponen yang lain telah mengenalpasti calon-calon yang bakal diketengahkan, senarai muka baru dan lama yang perlu dan akan dikekal.

MStar difahamkan Umno telahpun melalui proses dua kali menilai senarai calon-calon mereka sementara parti-parti utama BN yang lain juga turut melakukan penilaian yang serupa.

Mesyuarat Jumaat ini difahamkan akan mengemaskini senarai-senarai tersebut dan membuat penilaian terhadap persiapan masing-masing.

Adalah difahamkan juga, pengerusi BN mahu menilai sejauh manakah kemampuan BN untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang mereka pegang sekarang dan juga pada masa yang sama beliau juga ingin mengetahui apakah harapan yang ada untuk merampas kembali kerusi parlimen yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kawasan kuat BN.

Antara kerusi-kerusi yang dilihat pernah menjadi sebahagian daripada kubu kuat BN tetapi kini berada di tangan pembangkang ialah Padang Terap, Alor Setar, Jerai, Sik, Merbok, Padang Serai, Kulim-Bandar Baru di Kedah; Nibong Tebal, Bayan Baru dan Balik Pulau di Pulau Pinang; Bukit Gantang, Sungai Siput, Gopeng di Perak; Kuala Selangor, Selayang, Ampang, Gombak, Hulu Langat, Shah Alam, Kuala Langat di Selangor.

Telok Kemang di Negeri Sembilan, Kuantan di Pahang, Batu, Wangsa Maju, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan.

Seperkara lagi yang menarik ialah BN pusat juga ingin menilai sejauh manakah kemampuan BN Kelantan untuk merampas semula negeri itu dari tangan PAS setelah 22 tahun di bawah pemerintah PAS.

Kali terakhir BN memerintah Kelantan ialah pada tahun 1990.

Artikel Lain