suria

Model Baru Industri Teksi Tidak Jejas Operator Sedia Ada - SPAD

KUALA LUMPUR: Model baru berhubung pembangunan industri teksi tidak akan mengganggu perjalanan operator teksi sedia ada, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata model itu bukan pemberian permit kepada pemandu teksi baru, sebaliknya mensasarkan pemandu teksi yang telah lama dalam industri itu tetapi masih menggunakan permit syarikat.

"Bukan semua pemajak (pemandu teksi) ingin keluar dari sistem sedia ada, namun begitu ada sesetengah merasakan melalui sistem sedia ada mereka tidak mampu membayar pajakan...golongan ini yang akan kami tumpuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Hari Terbuka Pemandu Teksi Lembah Klang dan majlis Pelancaran Aplikasi 'TaxiMonger', di sini, Rabu.

Pada 24 Jun lepas, Spad mengumumkan sedang mengkaji untuk menambah baik sistem perkhidmatan teksi di negara ini, dan dijangka dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat.

Mengulas mengenai aplikasi TaxiMonger, Syed Hamid berkata Spad sentiasa menyokong perkhidmatan yang membantu memudahkan pengguna pengangkutan awam, namun pengendali perlu menyediakan kualiti perkhidmatan yang baik kepada pengguna.

"Paling penting kepada Spad ialah perkhidmatan mesti mempunyai kualiti terbaik dan memuaskan, tidak kira apa saja teknologi digunakan, yang penting pengguna mendapat kepuasan," katanya.

Dibangunkan oleh TaxiMonger Sdn Bhd, aplikasi TaxiMonger mempromosi pusat panggilan teksi maya, dan membantu pemandu teksi meningkatkan pendapatan harian mereka.

Melalui sistem in penumpang boleh menempah perkhidmatan teksi melalui Internet.

Selain itu, TaxiMonger menerusi syarikat bersekutu, SecQ.me turut memperkenalkan aplikasi keselamatan peribadi mudah alih dinamakan 'TaxiMonger Bodyguard' yang memantau pergerakan pengguna apabila menaiki teksi. BERNAMA

Artikel Lain