suria

Lelaki Dilapor Hilang Ditemui Mati Lemas

MELAKA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang lebih lima jam selepas terjatuh ke dalam Sungai Pengkalan di Alor Gajah ditemui mati lemas malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata mayat mangsa, K. Mogan, 33, dari Taman Pelangi di sini ditemui pada 9 malam selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan bomba dan Jabatan Perhidmatan Awam (JPA) bermula 5 petang.

"Polis menerima maklumat kehilangan mangsa pada 3.15 petang semalam di sungai berkenaan dipercayai terjatuh akibat mabuk," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Dalam perkembangan lain, seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler lain di Kilometer 221.6 Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi tadi.

Umar Ali Saifuddin berkata ketika kejadian pada 4.30 pagi itu, mangsa, Mohd Saad Ramli, 39, yang sedang menghala ke Johor dengan membawa muatan enam buah kereta maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan lain.

Katanya mangsa tersepit di dalam kenderaan akibat rempuhan kuat dan terpaksa dikeluarkan anggota bomba. -BERNAMA

Artikel Lain