suria

Isu Scorpene: Tiada Keperluan Tubuh RCI

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan bagi kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pembelian kapal selam Scorpene yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembelian kedua-dua kapal selam berkenaan dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak perolehan peralatan pertahanan negara.

"Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM.

"Selain itu rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan," katanya ketika menggulung ucapan penangguhan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Selain itu Ahmad Zahid memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan Malaysia tidak akan memohon untuk menjadi pemerhati di Mahkamah 'Tribunal de Grade Istance', Perancis.

"Kerajaan Malaysia difahamkan bahawa tiada perbicaraan berlangsung di Perancis berhubung isu kapal selam Scorpene," katanya.

Dalam pada itu ketika menggulung ucapan Nurul Izzah yang menyentuh mengenai isu komisen dan penjualan dokumen rasmi Scorpene, Ahmad Zahid dengan tegas menafikan dakwaan tersebut.

"Kementerian tidak pernah membayar sebarang bayaran komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan kapal selam Scorpene.

"Perolehan kapal selam tersebut dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

"Kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai bahawa dua buah kapal selam Scorpene dibeli daripada Syarikat Thales International adalah tidak benar," katanya.

Selain itu Ahmad Zahid menyatakan bahawa kementerinya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dakwaan penjualan dokumen rahsia oleh Syarikat Terasasi (Hong Kong) kepada Syarikat Thint Asia (Thales International) yang didakwa bernilai 36 juta euro.

"Kementerian juga tidak mempunyai sebarang maklumat dakwaan bayaran secara berkala daripada Thint Asia kepada Syarikat Terasasi (Hong Kong)," katanya.

Artikel Lain