suria

Empat Lelaki Bersenjatakan Samun Dua Rumah

JERANTUT: Empat lelaki bersenjatakan parang menyamun dua buah rumah, yang jaraknya hanya satu kilometer antara satu sama lain, membabitkan kerugian lebih RM65,000 awal pagi Rabu. Dua kejadian berkenaan berlaku dalam tempoh kira-kira setengah jam.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, dalam kejadian pertama kira-kira 8 pagi, empat lelaki yang menaiki Toyota Altis menyamun sepasang suami isteri di Taman Berlian, dekat sini.

"Selepas menceroboh masuk ke rumah mangsa, suspek mengacukan parang terhadap mangsa berusia 55 tahun, yang bekerja sendiri sebelum mengurung mangsa dan isterinya, 50an di bilik.

"Selepas melarikan barangan kemas dan wang tunai mangsa, suspek kemudiannya menyamun seorang lagi wanita berusia 24 tahun, seorang suri rumah di Taman Bukit Pedah, pada kira-kira jam 8.30," katanya. Beliau berkata mangsa kedua turut dikurung di bilik sebelum suspek melarikan barangan kemas dan wang tunai mangsa.

"Jumlah kerugian keseluruhan mangsa pertama adalah sebanyak RM35,000, manakala mangsa kedua RM30,700," katanya.

"Mangsa dalam kedua-dua kes itu mendakwa empat penyamun terbabit menaiki kenderaan Toyota Altis berwarna putih. "Polis percaya empat suspek itu turut terbabit dalam beberapa kes samun di daerah lain sebelum ini berdasarkan modus operandi mereka sama," katanya.

Polis meminta orang ramai agar mengawasi jika dihampiri Toyota Altis berwarna putih yang dinaiki empat lelaki kerana setiap suspek itu membawa parang.

Azid berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit supaya menghubungi Balai Polis Jerantut di talian 09-2662222 untuk membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain