suria

Cabul Anak Majikan: Pembantu Rumah Indonesia Dipenjara Setahun

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah lelaki warga Indonesia pada Rabu dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan anak majikannya berumur 11 tahun 6 bulan di sebuah kondominum di Sentul di sini.

Majistret Nur Azura Murah memerintahkan tertuduh, Aceng Ahmad Siman menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jun lepas.

Aceng, 35, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan kanak-kanak lelaki itu dengan memegang bahagian sulitnya di sebuah kondominium di Jalan Putramas 1, Sentul antara 12 tengah malam pada 15 Jun dan 8 pagi, 16 Jun lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Menurut fakta kes, bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh seorang daripada anggota keluarganya yang pernah melihat tertuduh memegang bahagian sulit mangsa beberapa kali ketika mangsa sedang tidur.

Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dengan mengambil kira usia mangsa yang masih muda.

Bagaimanapun Aceng, yang tidak diwakili peguam, hanya berkata "saya memohon maaf", ketika merayu meminta hukuman terhadapnya diringankan. -BERNAMA

Artikel Lain