suria

UPP Rampas Wang Palsu RM17,200 Di Pantai Pulau Ketam

KANGAR: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) merampas wang palsu berjumlah RM17,200 yang dipercayai untuk digunakan dalam urusniaga dadah di kawasan pantai Pulau Ketam dekat sini, awal pagi Isnin.

Komander UPP Perlis, DSP Zakaria Abdul Rahman berkata wang itu ditemui kira-kira pukul 3.40 pagi semasa pasukan UPP kawasan Kuala Perlis melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di sini Isnin, beliau berkata, dalam rondaan yang diketuai Komander UPP kawasan Kuala Perlis Inspektor Azizan Saman, pasukan itu terserempak dengan seorang lelaki mencurigakan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang menyedari kehadiran UPP bertindak melarikan diri ke kawasan hutan paya berhampiran dan gagal dikesan.

"Hasil pemeriksaan di kawasan itu menemui satu beg sandang berwarna hitam yang kemudiannya dibawa ke pejabat UPP Kuala Perlis untuk pemeriksaan lanjut dan menemui 172 keping wang kertas RM100 bernilai RM17,200 dipercayai wang palsu.

"Turut dijumpai ialah peralatan menghisap dadah, satu ketulan kecil yang disyaki ganja serta dua paket kecil serbuk dipercayai dadah," katanya.

Zakaria percaya lelaki terbabit menggunakan wang palsu itu bagi urusniaga dadah dan kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri untuk disiasat mengikut Seksyen 489A Kanun Keseksaan kerana menyimpan wang palsu.

Beliau berkata, UPP memberi tumpuan di kawasan berkenaan yang dikenal pasti antara kawasan sering berlaku kegiatan penyeludupan dan rampasan itu adalah kali pertama membabitkan wang palsu dalam jumlah yang besar.- BERNAMA

Artikel Lain