suria

Suami Isteri Didakwa Edar Dadah Jenis Kanabis

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 8,620 gram, dua minggu lepas.

Muhammad Ridzuan Ab Majid, 31, dan Siti Mariyam Mohd Isa, 24, didakwa dengan niat bersama mengedar dadah itu di blok 166-04-04, rumah Pangsa Sri Pangkor, Sentul Pasar, Sentul di sini pukul 5.45 petang, pada 12 Jun.

Kedua-dua mereka, yang bekerja sebagai jurujual alat penapis air, didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan dicatat sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azura Murah, yang menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zamani Mokhtar.

Pasangan tersebut yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 2 tahun, sebak dan menangis ketika melihat anggota keluarga mereka hadir pada prosiding itu. - BERNAMA

Artikel Lain