suria

Polis Tumpas Sindiket Judi Bola Euro 2012 Di Sekitar Selangor

SHAH ALAM: Polis menumpaskan sindiket bookie kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 yang mengaut pertaruhan melebihi RM800,000 bagi setiap perlawanan dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bermula 8 Jun lepas sehingga malam Ahad.

"Pasukan kita telah membuat 19 serbuan ke atas premis-premis yang dipercayai terbabit dalam judi haram ini, namun daripada jumlah itu enam daripadanya positif dalam melakukan kegiatan ini.

"Dua premis terbabit diserbu di sekitar Klang Utara manakala satu serbuan masing-masing di Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang Jaya dan Kajang," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata, hasil serbuan itu polis turut menahan lapan lelaki berumur lingkungan 28 dan 64 tahun.

Katanya, kesemua sindiket itu terlibat mengatur pertaruhan perlawanan bola sepak dan menerima wang pertaruhan sehingga mencecah RM800,000 bagi setiap perlawanan yang diatur.

"Modus operandi sindiket ialah bookie akan memberikan kata laluan kepada pembeli dan pembayaran dilakukan melalui kaedah kad kredit manakala wang habuan hanya akan diagihkan kepada pemenang selepas keputusan akhir.

"Siasatan awal mendapati setiap kaki judi membuat pertaruhan sehingga RM30,000 bagi satu-satu perlawanan," tambah Mohd Adnan.

Menurut Mohd Adnan, selain wang tunai, polis turut merampas beberapa peralatan serta perkakasan perjudian, beberapa keping kertas disyaki maklumat pertaruhan, beberapa buah telefon bimbit dan jadual perlawanan bola sepak Piala Euro dalam serbuan itu.

Beliau berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 6(3) (a) Akta Pertaruhan 1953, yang boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain