suria

Polis Berkas Suspek Kes Samun Dalam Tempoh Dua Jam

SHAH ALAM: Polis memberkas tiga suspek kes samun kira-kira dua jam selepas mereka melakukan jenayah terhadap seorang jurulatih gimnasium di Seksyen 19 di sini, Selasa.

Tiga suspek itu diberkas di sebuah hotel murah di kawasan Batu Tiga di sini pada kira-kira 5 pagi selepas menyamun jurulatih itu berhampiran Sekolah Menengah Seksyen 19 dalam insiden kira-kira 3.40 pagi.

Ketua Polis Shah Alam ACP Ahmad Zahedi Ayob berkata tiga suspek itu yang menaiki kenderaan Chevrolet menggunakan taktik melanggar kereta yang dipandu mangsa dari belakang yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ekoran dari perlanggaran itu, mangsa memberhentikan kenderaannya untuk keluar melihat kerosakan yang dialami.

"Tanpa diduga, tiga lelaki yang berada di dalam kereta Chevrolet itu turut keluar dari kereta terbabit dengan sebilah parang di tangan salah seorang dari suspek sebelum mengugut mangsa agar menyerahkan barang berharga miliknya," katanya ketika dihubungi, Selasa.

Takut dengan ancaman suspek, mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 dan dua telefon bimbit miliknya.

Ahmad Zahedi berkata hasil laporan polis yang dibuat mangsa, pihaknya dapat mengesan kenderaan suspek terbabit yang diletakkan di hadapan sebuah hotel murah di Batu Tiga di sini dan memberkas ketiga-tiga suspek serta menemui semula barang milik jurulatih yang telah disamun.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kumpulan itu menggunakan hotel berkenaan sebagai tempat istirahat sebelum mereka keluar semula untuk melakukan samun.

"Mereka hanya berehat dan mungkin akan keluar mencari mangsa lain memandangkan hasil samun pada awal pagi itu sedikit," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata. - BERNAMA

Artikel Lain