suria

Pengurus Syarikat Maut Dirempuh Kereta Sendiri

IPOH: Seorang pengurus syarikat pembinaan maut selepas kereta pacuan empat roda yang diparkirnya bergerak sendiri lalu merempuhnya di kawasan pembinaan di Falim di sini tengah malam Isnin.

Dalam kejadian pada pukul 12.00 tengah malam itu, Chang Wing Khoon, 58, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah akibat di rempuh oleh kenderaan jenis Toyota Hilux milik syarikatnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abd Haq berkata berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa disebabkan oleh patah tulang belakang dan pendarahan dalaman.

"Ketika kejadian mangsa tidak menyedari kenderaan itu bergerak sendiri ke arahnya lalu merempuh mangsa sehingga terperosok ke dalam longkang di kawasan pembinaan tersebut," katanya ketika dihubungi, Selasa.

Beliau berkata kes tersebut di klasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat," katanya.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki Orang Asli terbunuh, manakala pemboncengnya cedera parah apabila motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Km 60 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Somsak A/L Din Keliau berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu ialah Bah Lasman A/L Kong Chee Keen, 22, berasal dari Jalan Tapah.

Mangsa meninggal dunia ditempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera parah, Sanusi Mazlan, 20, turut dirawat di hosptial yang sama.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Bidor ke Tapah apabila bergesel dengan sebuah kereta yang juga dari arah yang sama menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh. - BERNAMA

Artikel Lain