suria

Mahkamah Persekutuan Putuskan Akta Hasutan Tidak Boleh Dicabar

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan perlembagaan dan kesahan Akta Hasutan 1948 tidak boleh dicabar.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berkata Perkara 4(2)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa undang-undang sedemikian tidak boleh dicabar.

"Akta Hasutan adalah undang-undang yang bermanfaat dan ia tidak ultra vires Perlembagaan Persekutuan," kata Zulkefli yang mengetuai panel lima hakim yang sebulat suara menolak rayuan peguam P. Uthayakumar untuk mengisytiharkan Akta Hasutan tidak sah di sisi perlembagaan.

Beliau berkata, hujah yang dikemukakan oleh peguam Uthayakumar, M. Manoharan tidak mempunyai merit.

Manoharan berhujah Akta Hasutan melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kebebasan bersuara dan memberi pendapat sebagai hak asasi semua warganegara.

Uthayakumar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 24 Februari lepas yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk mengisytiharkan Akta Hasutan tidak sah di sisi perlembagaan.

Zulkefli berkata, Perkara 10(2) memberi kuasa kepada Parlimen untuk menggubal sekatan ke atas akta, dan menambah ia berupa hak kebebasan berkaitan dengan kebebasan bersuara tetapi dengan bersyarat.

Anggota panel itu turut disertai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Zainun Ali.

Uthayakumar, 49, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Disember 2007, atas pertuduhan menerbitkan surat berbaur hasutan di laman web 'Police Watch Malaysia' bertarikh 15 November 2007 yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Great Britain ketika itu Gordon Brown.

Beliau membuat permohonan pengisytiharan (untuk mengisytiharkan Akta Hasutan tidak sah di sisi perlembagaan), dalam usaha untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya mengikut akta itu dan pendakwaan dalam prosiding di Mahkamah Sesyen digugurkan.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 18 Julai ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Manoharan berhujah Akta Hasutan itu tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia (akta) menjadikan perbuatan bersuara sebagai satu jenayah sedangkan hak warganegara bagi kebebasan bersuara dan menyuarakan pandangan dilindungi mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata ketetapan dalam Akta Hasutan menjadikannya satu kesalahan bagi seseorang untuk bertindak, bersuara atau menerbitkan kenyataan 'berbaur hasutan' tanpa sebarang syarat di pihak pendakwaan untuk membuktikan perkataan itu sebenarnya adalah hasutan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badarudin dalam hujahnya berkata hak untuk kebebasan bersuara seperti ketetapan di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan bukannya hak mutlak.

Beliau berkata Perkara 10(2) menyatakan Parlimen diberi kuasa meluluskan undang-undang untuk mengehadkan hak kebebasan itu.

"Kebebasan bersuara adalah terbatas. Negara kita tidak memberi kebebasan dan hak secara mutlak," katanya.

Noorin berkata, Akta Hasutan dilaksanakan berdasarkan sekatan yang dibenarkan di bawah Perkara 10(2) dan sehubungan itu undang-undang itu tetap sah. - BERNAMA

Artikel Lain