suria

Kualiti Udara Di Seluruh Negara Semakin Baik - JAS

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara hari ini semakin baik apabila 17 kawasan berada pada tahap baik dan 34 kawasan pada tahap sederhana sehingga pukul 11 pagi Selasa dalam tempoh 24 jam lepas.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS), semalam 18 kawasan berada pada tahap baik dan 32 kawasan pada tahap sederhana.

Kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak kekal menjadi satu-satunya kawasan pada tahap tidak sihat, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu menurun kepada 158 berbanding 192, Isnin.

Kemerosotan kualiti udara di kawasan Miri disebabkan kebakaran tanah gambut seluas 12 hektar di Permai Jaya berdekatan ILP Kuala Baram.

"Kerajaan negeri Sarawak telah menggerakkan Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri melibatkan agensi tempatan yang berkaitan bagi membendung kebakaran daripada merebak dan membantu kerja-kerja pemadaman api serta mengawal kebakaran," kata kenyataan itu.

Selain itu, status kualiti udara di Semenanjung menunjukkan penurunan bacaan IPU tetapi cuaca panas dan kering sepanjang bulan ini selain peningkatan titik panas mungkin mengakibatkan ketidakstabilan kualiti udara.

JAS turut menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka serta mempertingkat program pencegahan kebakaran tanah gambut bagi mengawal punca yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di seluruh negara.

Kenyataan itu menyebut perintah larangan pembakaran terbuka di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan pada 16 Jun lepas serta di kawasan Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak yang dikeluarkan pada 22 Jun lepas masih berkuat kuasa. - BERNAMA

Artikel Lain