suria

Kos Selenggara Scorpene Tidak Meningkat

KUALA LUMPUR: Tiada peningkatan kos penyelengaraan bagi dua kapal selam Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak, yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, kontrak penyediaan sokongan servis kedua-dua kapal selam itu ialah bernilai RM532 juta atau 193 juta euro (1.0 euro = RM4.07).

"Tak ada peningkatan, harganya tetap sama cuma ia hanya dipengaruhi oleh kadar tukaran mata wang asing," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2012 bagi Kementerian Pertahanan di sini, Selasa.

Selain itu Abdul Latiff berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membeli kapal selam Scorpene dengan tiga komponen iaitu pembelian, latihan krew dan penyelenggaraan.

"Berbeza dengan Chile walaupun negara itu beli kapal selam daripada syarikat yang sama. Oleh kerana mereka sudah ada kapal selam, makan krew yang menyelenggara kapal selam itu tak perlu dilatih lagi.

"Industri kapal selam sudah ada di Chile, begitu juga dengan India. Berlainan dengan kita iaitu kita perlu latih dahulu dan bangunkan kemahiran industri kepal selam," katanya.

Kontrak penyelenggaraan kedua-dua aset strategik negara itu, telah dianugerahkan dan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama tempatan dengan pembuat Scorpene iaitu Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd.

Kontrak antara kerajaan dan syarikat penyelenggaraan itu meliputi perjanjian selama enam tahun.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene dengan kos pembelian berjumlah RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

KD Tunku Abdul Rahman tiba di perairan Malaysia pada September 2009 dari Perancis manakala kapal selam kedua negara, KD Tun Razak tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar, Sabah pada Julai, 2010.

Artikel Lain