suria

Kes Culik Peniaga Pasir Selesai, Polis Tangkap Lima Lagi Lelaki

SHAH ALAM: Kes penculikan membabitkan seorang peniaga pasir serta pekerjanya di Ijok, Kuala Selangor dekat sini pada 11 Jun lepas, dianggap selesai dengan tertangkapnya lima lagi suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata kelima-lima lelaki berumur 31 dan 45 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di di Selangor dan Negeri Sembilan.

"Tangkapan terakhir adalah pada Rabu lepas di Labu, Negeri Sembilan dan kita percaya dengan penahanan lima lagi suspek ini, membantu mempercepat penyelesaian ke atas kes penculikan ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohd Adnan berkata sehingga kini hampir 89 peratus laporan kertas siasatan kes itu telah disiapkan sebelum ia diserahkan kepada pihak pendakwa raya dalam tempoh terdekat.

"Saya jangka dalam tempoh terdekat, siasatan kes ini akan ditutup (berjaya diselesaikan) dan kita akan dapat mengetahui motif sebenar kes dan dalang di sebalik kejadian ini," katanya. Dalam kejadian kira-kira 2 petang, peniaga pasir dan pekerjanya diculik berhampiran kilang pasir milik peniaga itu.

Kumpulan penculik kemudian meminta wang tunai berjumlah RM2 juta daripada anggota keluarga peniaga terbabit sebagai wang tebusan bagi membebaskan kedua-dua lelaki berkenaan.

Polis, yang dimaklumkan mengenai kejadian culik itu pada 12 Jun kira-kira 12.15 pagi, menubuhkan pasukan petugas untuk mengesan peniaga dan pekerjanya, masing-masing berumur 31 dan 45 tahun.

Kedua-dua mangsa kemudian dibebaskan pada 9.30 malam Selasa di sebuah kawasan di Ijok, Kuala Selangor selepas kumpulan penculik itu memperoleh wang tebusan.

Atas tindakan pantas polis, tujuh suspek termasuk dua wanita berumur lingkungan 21 hingga 47 tahun diberkas di beberapa kawasan iaitu di Bukit Raja, Kapar, Meru, Kota Damansara, Sentul dan Taiping. - BERNAMA

Artikel Lain