suria

Kedai Menjual Peralatan Rumah Musnah Dalam Kebakaran

KOTA KINABALU: Sebuah bangunan kedai menjual peralatan membuat rumah dan alat ganti paip PVC musnah dalam kebakaran di Kampung Tambulugu Jalan Tuaran-Tamparuli, Tuaran, dekat sini malam Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Khairul Amir Pajar Ali berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.15 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira 25 minit kemudian.

"Dua jentera dengan 13 anggota dari Balai Bomba Tuaran yang diketuai Pegawai Kanan Faidizal Abdullah dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain pada pukul 2.18 pagi," katanya.

Beliau berkata punca dan kerugian masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, pemilik kedai itu Yong Kwen Woon, 62, berkata dia bergegas ke kedainya selepas dimaklumkan jirannya kira-kira pukul 12.30 pagi.

"Apabila saya sampai di tempat kejadian, api semakin marak dan memusnahkan pelbagai barangan yang dijual di kedai seperti paip PVC, kasut keselamatan dan peralatan bengkel," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain