suria

Bayaran Durian Runtuh Felda Dibiayai Dana Dalaman, Wang Imbuhan FGVH

KUALA LUMPUR: Pembayaran 'durian runtuh' sebanyak RM15,000 kepada warga Felda dibiayai menggunakan dana dalaman dan wang imbuhan yang akan diterima melalui penjualan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH), kata Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pembayaran durian runtuh fasa pertama sebanyak RM5,000 yang dibiayai Felda menggunakan dana dalaman, telah selesai pada Mei lepas.

"Manakala baki pembayaran fasa seterusnya akan menggunakan wang imbuhan yang akan diterima daripada penjualan saham FGVH dan dijangka mula dibayar pada Julai 2012," katanya dalam jawapan bertulis kepada Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) yang diedarkan kepada media di Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Mohd Nasir bertanya daripada sumber mana kerajaan membayar 'durian runtuh' sebanyak RM15,000 kepada warga peneroka Felda sedangkan penyenaraian FGVH belum dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lepas mengumumkan durian runtuh kepada peneroka berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 kepada ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Ahmad berkata penasihat utama dan Penyelaras Global Bersama untuk penyenaraian FGVH ialah CIMB Investment Bank, Maybank Investment Bank dan Morgan Stanley & Co International.

"Jenis bayaran kepada penasihat-penasihat tersebut adalah yuran pembrokeran, yuran penempatan dan komisen Penyelaras Global Bersama. Kadar yuran dan komisen yang dibayar oleh FGVH kepada penasihat-penasihat tersebut adalah sejajar dengan kadar yang diguna pakai dalam Penawaran Awam Umum (IPO) tempatan," katanya.

Mahfuz meminta penjelasan kerajaan mengenai nama syarikat perunding yang dilantik bagi tujuan menasihati Felda dalam hal penyenaraian FGVH dan berapa jumlah bayaran yang perlu dibayar kepada perunding tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain